Kasut Seni

Selalunya orang kata Allah SWT akan jumpakan kita dengan pasangan yang sama tapi berbeza. Maknanya kita suka dia mula-mula sebab ada banyak persamaan dia dengan Keanu Reeves, lepas tu baru discover ada banyak yang tak sama.

Ehhhhh.

Maknanya mungkin masa kita jumpa dia awal dulu kita boleh ‘sangkut’ sebab ada banyak benda yang sama dengan kita, tapi lepas kahwin kita jumpa banyak perbezaan dia dengan kita yang sebenarnya Allah SWT wujudkan untuk menjadi pelengkap kekurangan diri kita.

Itu yang sepatutnyalah kannnn?

Aku dan Ezzy outlier sikit.

Aku ni sentimental psycho dan masalahnya Ezzy pun ada sikit persamaan. Aku rasa kalau perangai dia opposite, makin lama psycho aku part mengemas dan suka organize ni akan perlahan-lahan hilang sebab tak kuasa dah kalau kau kena hidup dengan kaki sepah. Kalau dia jenis yang tak ada perasaan, mesti dia malas nak layan aku bila aku nak simpan segala jenis kasut, baju, hasil seni yang anak-anak hasilkan. Maka senang sikitlah nak buang barang-barang. Tetapi, bila dua-dua sama naik, dan kadang-kala Ezzy lagi teruk dari aku, memang berkotak jadinya barang-barang ‘first‘ anak-anak yang disimpan.

“Awwwww, ni Eizwan punya first kasut.”
“Eeeeeeee, ni Eiryan punya paper masa dia first time pergi school trip.”
“Alahai ni baju Leia yang first dia pakai masa keluar dari hospital.”

And the list goes on.

Semua barang ada sentimental value yang tersendiri pada kami berdua. Setiap barang ada ‘cerita’. Aku pernah bagitaukan yang aku susah nak beli barang? Setiap kali nak beli satu-satu barang aku akan ambik masa fikir betul-betul. Bukan main rembat. Jadi bila sampai waktu nak buang, memang bukan satu proses yang senang. Memang ini cabaran bagi aku dan Ezzy. Tapi lama-lama kitorang surrender. Kalau nak simpan semua baju, kasut anak-anak dari keluar perut sampai dia keluarkan anak sendiri jawabnya kitorang kena pindah duduk dalam kilang.

Jadi apa nak buat?

Aku belek setiap satu kasut, pilih yang betul-betul aku nak simpan. Yang lain, yang aku masih rasa sayang nak buang tapi macam tak tau apa kesan dia 20 tahun akan datang, aku ambik gambar. Lepas dah nangis setempayan, baru aku buang.

Over.

Yang mana masih elok, aku basuh dan bagi pada orang.

Untuk hasil-hasil seni anak-anak lagi pedih hati. Tapi bila difikirkan balik, bila aku dah besar ni, kalau Mak aku keluarkan balik hasil seni masa aku kecik dulu, dengan benda tu dah buruk dan warna pun dah kelam, aku pun buang kot. Cukup bagi aku kalau ada gambar-gambar waktu hasil seni aku tu masih cantik dan lagi best kalau ada gambar atau video muka aku tengah proudly showing off my work. Itu lebih berharga berbanding dengan barang itu sendiri yang mungkin dah jauh dari rupa asal pun.

Jadi untuk barang-barang seni, selain dari aku pastikan aku ambik gambar anak-anak menyeringai bangga sebelah hasil kerja mereka yang dipamerkan kat sekolah, aku buat macam kat atas tu. Beli satu board putih besar, letak hasil seni atas tu dan ambik gambar. Konon nampaklah macam kat studio.

Konon.

Lepas tu gambar-gambar ni aku simpan dalam hard disc. Pastikan terus transfer ehhhhh. Jangan buat pekasam dalam phone pulak. Aku asingkan folders ni ikut tahun anak-anak hasilkan kerja-kerja ni. Contoh, di bawah folder nama Eizwan, aku pecahkan macam dalam gambar ni.

Youchien tu tadika, shougakkou tu sekolah rendah. Asingkan ikut tahun, Tadika 4 tahun, Tadika 5 tahun, Sekolah Rendah Darjah 1, 2, 3 dan seterusnya. Dah simpan macam ni jangan lupa satu lagi benda. Benda paling penting.

Back up.

Nanti penat je ambik gambar semua ni, sekali hard disc jahanam. Hilang semua memang meraunglah. Kalau ada hasil seni yang kau terasa kalau simpan ni boleh jual atau letak kat muzium bila anak kau jadi Claude Monet, simpanlah dalam kotak-kotak macam kat bawah ni. Setiap seorang anak ada satu kotak. Dan isi dalam diasingkan mengikut tahun sekolah dengan kotak-kotak kecik yang kitorang beli kat Daiso.

Aku beli kotak Samla ni dari IKEA dan asingkan barang-barang ikut kategori. Kotak-kotak ni memang favorite aku dari zaman sebelum kahwin. Disebabkan harganya boleh tahan mencekik, aku beli sikit-sikit. Tapi boleh je beli apa jenis kotak pun. Kat TESCO atau Giant banyak je jual macam ni. Cuma aku ni ada masalah dengan yang ada warna-warna. Aku suka plain tanpa ada sebarang warna atau corak. Pada mata aku bila disusun akan nampak lebih kemas.

Itu mata aku.
Mata kau, ikut kaulah kan.

Cuma, cuba cari kotak yang transparent supaya senang untuk kita lihat isi hatinya dan pastikan jenis kotak yang sama untuk semua. Percayalah, ada banyak beza kalau kau simpan dalam sejenis kotak yang sama dengan kau main bedal campur segala jenis kotak macam-macam corak dan warna.

Huish huru hara.

Gambar kat atas tu adalah kotak barang-barang yang kitorang tinggalkan kat Malaysia sebelum pindah ke sini. Abaikanlah susunan dalam kotak-kotak tu. Waktu tu main sumbat je sebab nak cepat simpan. Mana sibuk nak melalak kena berpisah dengan suami dan anak lagi. Tapi semua diasingkan ikut kategori ehhhh. Lepas tu kitorang angkut simpan kat dalam stor di Glenmarie, Lock n Store nama tempat tu.

Marie Kondo tengok ni nangis.

Entah. Aku ada cara aku sendiri. Ada cara Marie Kondo yang aku suka, aku ambik sikit. Ada cara minimalist yang aku berkenan, aku ikut. Bagi aku tak ada cara yang betul-betul tepat dan tak ada cara yang salah untuk kita kemas dan susun rumah kita sendiri. Kita sendiri kena tahu apa yang terbaik untuk rumah kita. Aku suka simpan barang-barang, tapi sebelum simpan aku tapis betul-betul. Lepas tu bila dah finalize, aku simpan dalam kotak-kotak ni. Janji cara kita simpan tu kemas dan sedap mata memandang.

Dan takkkkkkkkk seharusnya aku.

Ok takde kena mengena.

Leave a comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.