
Siapa yang pernah datang rumah aku mesti tahu gambar ni kat mana. Bila aku terlampau penat dan perlukan masa untuk aku turunkan darah dan stabilkan segala jenis hormon dalam badan, di sinilah aku ‘bertapa’. Satu-satunya tempat dalam rumah Jepun ni yang pintu dia boleh kunci selain dari pintu rumah. Itu pun boleh buka dari luar pakai syiling.
“Mommy! Pensil Eiyan stuck dalam sharpenerrr!”
“Mommmmyyyy! Sorry! Eiwan tertumpahkan susu!”
“Mommyyyy! Leia pick her nose!”
“Mommyyyy! Abang Eiwan cakap Leia schnitzel!”
Itu belum lagi yang selitkan nota bawah pintu kalau aku buat-buat tak dengar.
Oh yesss.
Jangan salah faham. Anak-anak aku semua manusia biasa, bukan malaikat yang sempurna. Ada hari yang anak-anak semua elok senonoh comel je perangai yang buatkan aku tanya pada diri, “What did I do to deserve them?”. Dan ada juga hari yang anak-anak terbalikkan rumah, bergaduh, menjerit yang buatkan aku tanya juga, “What did I do to deserve them?”
Heh heh.
Ditambah dengan segala tekanan dan cabaran duduk di tempat orang ni, jauh dari keluarga dan sahabat, memang akan ada hari yang aku rasa nak menangis, penat, nak join sekali mengamuk guling-guling kat lantai dengan anak-anak. Dan aku tahu bukan aku seorang sahaja yang melalui semua ini. Ramai sebenarnya yang sedang melalui fasa ini tapi terpaksa pendamkan kerana risau dijatuhkan ‘hukuman’.
Aku lain.
Memang spesis lantak buat vodo.
Waktu macam inilah kewujudan suami itu amat diperlukan. Hari ni hari dating aku dan Ezzy. Dalam 1 – 2 bulan sekali Ezzy akan ambil cuti ‘khas’. Cuti ini adalah untuk menemankan sang isteri menstabilkan emosi dan mendapatkan semula kewarasan yang dah bertempiaran.
Jadi buat apa sepanjang hari cuti ni?
Tak buat apa pun. Pagi hantar anak sekolah, lepas tu pergi breakfast dengan aman, selesaikan segala urusan tertangguh dan beli barang-barang aku yang kalau bawa anak-anak boleh terbalik kedai tu dibuatnya.
Sejak kebelakangan ni, makin kerap kita dengar cerita tentang ibu-ibu yang mengalami tekanan perasaan (depression) terutama di kalangan surirumah. Aku tak kata para ibu yang bekerja tak ada tekanan. Masing-masing ada cabaran yang tersendiri. Cuma disebabkan aku dah 10 tahun jadi surirumah maka aku lebih faham apa yang mereka rasa. Bagi surirumah yang dah biasa bekerja akan lebih terasa ‘sakitnya’. Dunia akan bertukar. Aku rasa tak perlu aku ulas pasal ni. Nanti jadi isu perdebatan siapa yang lebih penat dan tertekan.
Malas.
Para suami, jangan ambil ringan stress seorang isteri. Dah banyak kes kita dengar, tengok muka senyum elok je masak kat dapur la la land, tapi tiba-tiba snap hilang kawalan dan membawa kepada kes yang serius. Bila ada kes surirumah yang mengalami tekanan perasaan, yang sampai membawa kepada kehilangan nyawa diri dan anak-anak, aku paling sedih baca komen ‘pakar’. Komen yang bukan setakat tak membantu tapi membuatkan aku rasa nak jadi serigala kekoh orang. Antara komen yang buatkan aku tersentap baca dan aku akan ingat sampai bila-bila,
“Tak ingat Tuhan ke?”
“Inilah masalahnya kalau tak ada iman.”
“Apa yang stressnya duduk rumah jaga anak je pun.”
Dan komen-komen ini malangnya datang dari lelaki. Mereka yang Allah SWT tak beri peluang untuk merasa tunggang langgangnya hormon dalam badan selepas 9 bulan membawa nyawa dan bermatian mengeluarkan penyambung umat. Begitu tenang mereka lemparkan hukuman. Selalunya kalau aku terbaca komen macam ni, Ezzy lah jadi mangsa wakil kaum lelaki. Tak dapat bebel suami orang, telinga Ezzy aku tadahkan. Lebih cannot brain bila ada pulak komen-komen yang datang dari kaum wanita sendiri.
“Tak payahlah nak ‘me time’ sangat, kejap je anak-anak dah besar. Hargai jelah masa dengan mereka.”
“Zaman dulu tak ada pun nak mengada macam ni. Dah memang itu anak kita, jaga jelah.”
Kefendekan apakah ini?
Jangan macam itu genggg.
Zaman dulu lain, zaman sekarang lain. Kesusahan dan cabaran yang berbeza. Zaman dulu, masyarakat tak terlalu mudah menghukum. Sekarang ramai yang holier-than-thou. Salah sikit, berbakul kena ceramah. Zaman dulu, tak ada sosial media yang terlalu senang untuk kita lihat ‘kayu pengukur’ kehebatan ibu-ibu lain di luar sana menguruskan keluarga dan membesarkan anak-anak. Zaman sekarang, kalau kita beriya semangat masak bihun goreng untuk bekal anak kita, baru nak rasa bangga dengan diri sendiri, buka Facebook, kawan kita buat nasi muka Doraemon tengah makan lamb chop untuk bekal anak dia. Semuanya menjadi paparan. Maka mulalah timbul unnecessary pressure. Tapi itulah hakikat yang para ibu perlu hadap zaman sekarang. Segala cerita isi rumah sebelah kita boleh tahu. Kebahagiaan, kehebatan, kemithalian, sama ada ianya cerita benar atau rekaan dijadikan tayangan yang mudah untuk kita bandingkan dengan diri kita sendiri.
“Habis tuuuu, janganlah bandingkan.”
Tolong sesiapa cekup mulut aku.
Takut terkeluar segala alam carutan.
Nama pun manusia, bukannya robot dan bukannya duduk dalam gua. Tak semudah itu untuk kita sekat semua. Kita akan terlihat, kita akan terdengar dan kita akan terasa. Ketahanan manusia lain-lain. Allah SWT jadikan setiap makhluknya unik luaran dan dalaman.
Itu belum lagi masuk dengan segala ‘manual’ itu tak boleh, ini jangan, dari setiap sudut bucu dunia pakar psikologi yang tak bertauliah.
“Jangan marah anak, nanti anak terganggu perkembangan otak tak boleh jadi angkasawan.”
“Jangan cuit anak, nanti anak kurang keyakinan diri tak boleh jadi jutawan.”
Aku yang boleh jadi sawan.
Anak terlepas cakap dengan jiran mak baru lepas bagi makan Maggi, esok pagi dah ada bakal ‘Tokoh Maal Hijrah’ hantar 15 artikel kat group whatsapp kejiranan pasal makan Maggi boleh menyebabkan kanser. Tambah lagi stress. Tak boleh nak tolong ringankan beban, jangan tambahkan masalah.
Jadi, apa nak buat?
Iqra.
Baca.
Luangkan masa baca tentang depression ini. Depression atau dalam bahasa Melayunya depresi, bukan satu bahan jenaka atau perkara yang dibuat-buat. Ketidakseimbangan hormon serotonin, genetik (keturunan), kehilangan mereka yang disayangi, memori peristiwa pahit dan beberapa lagi faktor yang boleh menjadi punca depresi ini. Kalau postpartum depression lagi jangan buat main. Kemurungan selepas bersalin ni bukan sesuatu yang kita patut perlekehkan. Dia punya rasa tunggang langgang nak melalak meraung tu kalau tak dikawal boleh mengakibatkan perkara yang menakutkan. Semua ini ada kaitan dengan pertukaran hormon dalam badan sewaktu mengandung dan selepas bersalin. Aku pernah belajar pasal ni tapi bukan pakar. Tak naklah cerita lebih-lebih nanti kena tembak.
Carilah jalan penyelesaian mengikut pengedaran zaman. Cari jalan yang terbaik. Masyarakat berhentilah menjadi Tuhan yang menghukum. Jadilah manusia yang penuh rasa simpati sesama kita. Jika tiada apa yang kita mampu bantu untuk selesaikan masalah, berdiam sahajalah. Cukup untuk kita sampaikan doa yang terbaik dan jangan lupa doakan sekali supaya tiada di antara ahli keluarga kita terpaksa melalui dugaan seperti ini.
Kepada ahli keluarga yang terdekat, berikan sokongan sepenuhnya dan ruang untuk para ibu terutamanya surirumah ini untuk mendapatkan semula kewarasan mereka. Sekali-sekala bagi mereka dapatkan balik identiti diri mereka yang hilang. Mereka perlu rasa diri mereka berharga.
Para suami boleh mulakan dengan bawa isteri pergi bercuti berdua atau paling mudah berikan cuti satu hari untuk kaum ibu ni pergi beli barang sendiri, makan dengan kawan-kawan lama dengan tenang tanpa kejadian kek terlangkup. Bukan bermakna bila keluar sekejap sehari tu si isteri nak lari terus, tak sayang anak dan sebagainya. Dia hanya perlukan masa untuk rehatkan minda dan emosi. Balik nanti mereka oklah tu.
Tak susah pun.
Macam Encik Ezzy ni lah.
Masa anak-anak masih kecik, aku dapat keluar seorang pergi pasar pun dah cukup bahagia. Lepas tu Ezzy suruh aku keluar sendiri jauh sikit, dia jaga anak-anak kat rumah. Tapi aku pulak ada masalah terpinga-pinga dengan orang Jepun ni. Kejap je bertahan sebab aku penat jadi ayam itik. Maka dia carikan penyelesaian baru, dia ambik cuti satu hari. Temankan aku merayau.
Allah, sekali sekala kenalah puji suami sendiri. Dia pun pandai stress. Kena jaga hati dia jugak. Ni nanti ada pulak yang cakap Ezzy takut bini.
Ezzy bukan takut bini,
bini tak takut dia.
Hish takutlah.
Bak kata Eizwan, Daddy ni macam ice dragon. Nampak senyap tapi sekali dia sembur, keluar air batu.
Sakit wooo.
